Mereka Yang Gagal Memahami Erti 'Zina Hati' (Bahagian 2)


Sambungan dari Zina Hati (Bahagian 1)



CONTOH-CONTOH KEKELIRUAN


1) "Astaghfirullahalazim! Apa yang telah aku lakukan? Bukankah berhubung dengan berlainan mahram sehingga membibitkan perasaan cinta itu HARAM berdosa."

Komen saya: Alangkah jahilnya. Bagaimana mungkin perasaan cinta yang timbul dalam hati itu dianggap haram dan berdosa???

2) Zinanya hati ini berlaku apabila hati kita menginginkan sesuatu yang haram bagi kita secara berlebih-lebihan. Sebagai contoh, keinginan itu seperti ingin dirindui, dicintai, dibelai, mengingati si dia lebih daripada kita mengingati Tuhan.

Komen saya: Masih gagal memahami maksud zina hati dengan baik. Yang pertama katanya zina hati adalah: Menginginkan perkara haram secara berlebihan. Kalau begitu, menginginkan perkara haram secara tak berlebihan tu kira oklah ya???

Yang kedua, contoh yang diberikan itu satu pun tidak termasuk dalam zina hati, hal-hal itu bukan termasuk dalam bab zina hati, tetapi termasuk dalam bab lagho dan melakukan perkara yang harus dengan berlebihan.

3) Seorang lelaki teringatkan perempuan, itu zina hati kan? Saya pun kurang jelas dgn konsep zina hati ni. Jadi maknanye kalau teringat saja kat bukan mahram kite tu dah kira zina ya? Satu lagi, lelaki tersebut sahaja yg berdosa atau pun keduanya?

Komen saya: Lelaki ingatkan perempuan itu zina hati? Perempuan ingatkan lelaki zina hati? Heheh… luasnya skop. Kalau macam tu, lelaki lepas ni janganlah ingat kepada ustazah kat sekolah, perempuan pula jangan ingatkan ustaz kat sekolah. Itu semua zina hati tu, berdosa tau tak…hehe. Come on lah, sudahlah maksud zina hati itu pun tak faham, mudah-mudah sahaja memberi pandangan.

Adapun soal siapa yang berdosa dalam hal ini, jawabnya tiada sesiapa yang berdosa baik lelaki mahupun perempuan kerana itu bukan zina hati.

4) Saya ada kemusykilan di sini. Seandainya pasangan ini sudah berniat untuk berkahwin, adakah rindu antara mreka juga dikatakan zina hati?

Maka menjawablah seorang ustazah: “Yap!! selagi belum berkahwin.”

Komen saya: Soalannya bagus. Tetapi jawapan yang diberikan oleh ustazah itu cukup mengecewakan. Ustazah, tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik sebelum memberikan jawapan. Boleh ustazah?

5) Dalam tak sedar, kita boleh melakukan zina. Benda yang kita tak nampak, tapi dosa besar. Dalam diam, kita dah lakukan zina. Bukan dari luaran, tapi dalaman. Astghfirullahala'zim. Kita sekarang terlalu terdedah dengan benda-benda yang lagho. Lupa mengingati Allah.

Komen saya: Dosa besar??? Sejak bila pula zina tangan, kaki, mata, mulut, hati itu tergolong dalam dosa besar??? Telah saya jelaskan bahawa itu semua termasuk dalam kategori dosa kecil yang disebut sebagai Al-Lamam. Dosa sebegini terampun hanya dengan melakukan perkara kebaikan biasa seperti berwudhuk, solat, zikir dan sebagainya lagi tanpa memerlukan taubat khusus.

Soal lagho dan lupa mengingati Allah itu soal lain. Kalau nak bercerita tentang lupa mengingati Allah ni, semua manusia tidak terlepas termasuklah para sahabat Nabi terdahulu kerana kita adalah manusia bukan malaikat. Cubalah menjadi manusia yang baik, jangan cuba menjadi malaikat.

Seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah mengadu kepada Nabi dengan berkata: “Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah telah menjadi munafiq”. Nabi berkata: (Apa maksudmu?). Kata Hanzalah: “Apabila kami berada bersama Kamu, kami ingat kepada Akhirat, tetapi apabila kami pulang bersama keluarga, anak-anak, dan harta kami, kami banyak lupa”. Sabda Nabi: (Demi Allah yang diriku dalam kekuasaanNya, kalau kamu terus kekal seperti hal kamu ketika bersamaku, nescaya malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di bilik kamu dan jalan-jalan. Tetapi Hanzalah, ada masa masanya). Riwayat Imam Muslim (8/95, no 4937)

6) Jika kita rindu seseorang ajnabi kerana kita memang couple dengan dia, tak kiralah berjumpa atau tidak, itu dikira zina hati. Kalau tak couple, tapi mungkin minat, dan lama-lama jadi rindu jika tak berjumpa, pada mulanya fitrah, tetapi apabila tak dikawal, dielak, tak mujahadah, itu boleh menjadi zina hati.

Komen saya: Pulak dah, ada beza pula ya antara yang bercouple dengan tak bercouple. Jawapan yang langsung tiada asas ilmu, sekadar mengagak-agak.

7) Saya selalu digosip kawan-kawan dengan seseorang, bila nama orang tu disebut-sebut, saya akan teringat kepada dia dan ini menyebabkan saya terpalit dengan dosa zina hati kerana mengingati seseorang yang bukan mahram dengan saya. Astaghfirullah, moga-moga Allah mengampuni dosa saya.

Komen saya: Oh ya ke, kalau begitu lepas ni janganlah ingat langsung kepada sesiapa yang bukan mahram anda. Sepupu anda, cikgu anda, pak guard sekolah anda, perdana menteri Negara anda, kerana itu semua bukan mahram anda tu. Zina hati tu… Hai, mudah-mudah saja membuat hukum ya.

8) Nak tanya sekejap. Zina hati tu dikira apabila kita teringat seseorang yg berlainan jantina untuk seketika atau teringat selalu hingga termenung?

Menjawablah seorang rakannya: “Teringat seketika atau selalu tetap salah. Sebab kita ni kena selalu ingat kepada ALLAH”.

Komen saya: Hohohoho…I’m speechless. Tak sangka, ada juga jawapan sebegini. Teringat seketika pun tak boleh ya, kena selalu ingat Allah sepanjang masa 100 peratus ya. Macam tu sahabat Nabi pun kalah dengan awak. Hebat betul awak ya, sama taraf dengan malaikat.

Dalam Al-Qur’an pun Allah tak suruh kita ingat kepadaNya sentiasa kerana itu adalah perkara yang mustahil dan ulama menyebut bahawa Allah tidak sekali-kali membebankan manusia dengan perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Sebab itu, Allah hanya menyuruh kita supaya banyak ingat kepadaNya, bukan selalu ingat kepadaNya. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat ke-41:

((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً))

Maksudnya: ((Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah dengan ingatan yang banyak)).

9) Sekarang ni saya tengah buntu. Saya sekarang bercinta dengan seseorang. Tapi kami mahukan perhubungan kami diredhai Allah. Tetapi baru-baru ni saya ada baca nota yang mengatakan bercinta adalah haram dalam Islam. Betul ke? bercinta juga mendekatkan diri kepada zina iaitu zina hati. merindui dan mengingati antara satu sama lain. Jadi, apakah yg perlu saya buat?

Maka berfatwalah seorang rakannya: “Bercinta tu memang haram. Bila dah bercinta kita selalu rindu, kadang-kadang ingat kat dia dan macam-macam lagi. Itulah yang dinamakan zina hati. Sebab itu, bercintalah selepas kahwin.

Komen saya: Sama juga masalah dengan mereka yang sebelum ni. Keliru dengan maksud bercinta, lepas tu tak memahami erti zina hati.

Adapun soal bercinta sebelum atau selepas kahwin, kalau dimaksudkan dengan perasaan cinta, maka bagi saya perasaan cinta itu perlu ada sebelum kahwin bukan selepas kahwin, manakala aktiviti percintaan itulah yang dilakukan selepas kahwin. Sebab itu Nabi menyuruh sahabatnya kalau nak melamar perempuan tu tengok dulu, supaya timbul perasaan cinta dalam hati. Kalau setelah melihat tapi tidak timbul rasa cinta dan berkenan tu, maka cari yang lain.

9) Bagi saya memang zina hati susah utk dihindari terutama zaman sekarang. Lebih-lebih lagi zaman teknologi sekarang. Walaupun dengan bermesej, boleh diragukan kita buat zina tangan. Itu zina tangan, kalau dah zina luaran, macam mana pula dalaman?

Komen saya: Astaghfirullah, pandangan yang penuh dengan ta’annut dan tasyaddud. Gagal dalam memahami maksud zina hati dan zina kecil yang lain. Bermesej di telefon itu zina tangan?? Kalau anda bermesej mengajak kepada persetubuhan, semestinya itu zina tangan, tapi kalau sekadar bertegur sapa pun nak dilabelkan sebagai zina, maka anda tersasar jauh.

Memang berhubung antara lelaki dan perempuan hanya perlu apabila ada keperluan. Tapi kalau tiada keperluan dan sekadar menggatal, tidak boleh sewenang-wenangnya dengan mudah mengkategorikan hal itu dalam bab zina tangan tetapi dikategorikan dalam bab buat perkara lagho tak berfaedah.

Sudahlah gagal memahami maksud zina-zina kecil tu, gagal pula membezakan antara mereka yang melakukan zina kecil dengan mereka yang melakukan perkara-perkara lagho tak berfaedah.

10) Zina hati sebenarnya apabila kita mengingati seseorang secara berlebih-lebihan.

Komen saya: Fahaman yang juga tersasar.

11) Macam mana kalau teringatkan lelaki yang kita hanya pernah berjumpa dengannya dalam mimpi, tapi kita tak kenal pun kat alam nyata ni, kira zina hati juga ke?

Komen saya: Lihat bagaimana kegagalan memahami maksud zina hati menyebabkan timbulnya soalan-soalan yang tak sepatutnya timbul.

12) Saya pun ada juga zina hati ni kerana teringatkan kawan lelaki. Nak buat macam mana nobody's perfect except our prophet. Tapi macam yang dah dinasihatkan oleh rakan supaya bila teringatkan seseorang (si dia) kita hendaklah membaca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah.

Komen saya: Gagal dalam memahami zina hati dan mengenal pasti penyakit sebenar, kemudian cuba mereka-reka ubat sendiri. Baca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah??? Hehe…lucu juga dengan petua yang diberikan.

13) Memang susah nak hindari zina hati. Susah sangat. Apabila teringatkan si dia, susah nak lupakan. Tapi nak tanya ni, apa dosanya kalau kita buat orang lain zina hati? Contohnya: Kita buat orang lain berkenan kat kita.

Komen saya: Masih juga tak faham-faham dengan maksud zina hati.

14) Zina hati yang paling ketara dalam jiwa remaja zaman sekarang adalah kamu merindui si dia, kamu sentiasa terbayang si dia, kamu tak dating, tak jumpa dgn si dia, tak keluar makan-makan, tapi kamu masih terbayang pada si dia. Bukti yang paling ketara, inbox kamu penuh dgn mesej si dia. Bayangkan sahaja, seorang remaja yg cukup komited dgn dakwah tetapi mereka bercinta. Bayangkan presiden BADAR kat sekolah bercinta. Ya Allah! tak dating, tak keluar makan-makan, tak berutus surat, tapi saling berbalas mesej dengan beralasankan "Eh takpe, aku hantar mesej pasal hadis la kat dia. Saling nasihat menasihati". Astaghfirullah, itulah contoh-contoh zina hati. Nama pun hati, mesti la dalam hati. Betul tak?

Komen saya: Tak betul langsung. Saudara, itu tidak termasuk dalam bab zina hati. Itu gedik dan mengada-ngada termasuk dalam bab buat perkara-perkara tak berfaedah atau lagha. Saya lebih suka mengistilahkan percintaan sebegitu sebagai percintaan yang “poyo”. Percintaan pra-matang remaja baru nak up.

Sabda Nabi: (Antara keelokan Islam seseorang itu, dia meninggalkan apa yang tak patut baginya). Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (4/558, no 2317) dan dia berkata: Gharib. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/1315, no 3976) dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahihnya (1/466, no 229).

14) Sebenarnya, saya ada satu soalan. Begini, seorang lelaki amat menyayangi seorang perempuan bukan mahram ini, tetapi dia tidak merinduinya. Adakah ini tergolong dalam zina hati juga? Sebab saya masih tak berapa jelas dengan maksud zina hati.

Komen saya: Apabila gagal untuk memahami zina hati dengan baik, kemudian dimomokkan pula dengan fahaman-fahaman yang salah tentang zina hati, maka diri sendiri mencari jalan keluar dengan mereka-reka perkara yang tak masuk akal. Seorang kekasih menyintai kekasihnya, tetapi mereka tidak rindu, adakah ini juga termasuk dalam zina hati? Ahaha…

Tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik, perasaan cinta antara kekasih dengan kekasihnya tidak dikira zina hati, juga perasaan rindu. Kalaupun perasaan cinta dan rindu itu melampaui batas, itu tidak termasuk dalam bab zina hati, itu termasuk dalam bab berlebih-lebih dalam perkara-perkara yang harus. Yang menjadi zina hati adalah perasaan atau keinginan hati untuk melakukan dosa zina iaitu bersetubuh dengan kekasih tersebut. Faham!!!

15) Saya takut diri saya terjebak dengan “zina hati” apabila saya teringat pasal si dia. Biasanya, saya akan membayangkan saat-saat kami berjumpa, kata-kata dia dan kadang-kadang saya macam berangan-angan berumah tangga dengan dia. Selalu terbayang dalam fikiran saya, kehidupan kami sebagai suami isteri contohnya, saya masak untuk dia, bermesra dengan anak-anak dan sebagainya. Itu memang selalu saya fikirkan. Adakah itu salah satu dari “zina hati”? Saya juga tak boleh kawal perasaan rindu setelah kami berjauhan. Perasaan tu la yang buat saya lalai sedikit sebanyak. Saya cuba tenangkan fikiran saya dengan solat sunat, baca Al-Quran tapi tu tak kekal
lama.

Komen saya: Amboi-amboi, jauhnya akak berkhayal. Itu bukan zina hati tu kak, itu angau namanya. A N G A U: Angau. Parah benar nampaknya tu. Walaupun bukan termasuk dalam zina hati, tetapi eloklah dielakkan perkara-perkara lagho sebegitu, sibukkan diri dengan perkara-perkara berfaedah, jangan sampai terbuang masa kerana berkhayal.

16) Saya telah mengambil keputusan meninggalkan pasangan saya kerana saya tahu ianya sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Dan alhamdulillah saya juga telah mengambil langkah dengan bernikah dengan seorang gadis melalui cara yang lebih baik iaitu melalui pernikahan secara Islamik.

Komen saya: Astaghfirullah, bercinta dengan seorang gadis, kemudian merasakan perkara itu sebagai salah lalu memutuskan hubungan. Kemudian mengambil langkah penyelesaian dengan berkahwin dengan gadis lain?

Mengapalah “terlampau cerdik” sampai ke tahap ini??? Kalaupun anda merasakan hubungan anda itu salah dan berdosa, apa yang anda perlu lakukan adalah bertaubat daripada dosa dan membaiki dosa tersebut.

Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat ke-39.
((فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ))

Maksudnya: ((Sesiapa yang bertaubat selepas kezaliman yang dilakukan dan membaiki kesilapannya maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa ke atasnya)).

Seorang pencuri, apabila sedar dan insaf atas dosa yang dibuat, maka dia perlu bertaubat daripada dosa mencuri tersebut, dan membaiki dosa tersebut dengan memulangkan kembali segala barang-barang yang dicuri.

Seorang lelaki yang bercinta dengan seorang perempuan sehingga terjebak ke dalam perkara-perkara dosa, apabila sedar dan insaf perlulah bertaubat daripada dosa yang dilakukan, dan membaiki dosa tersebut. Bagaimana untuk membaiki dosa tersebut? Iaitulah dengan mengahwini perempuan itu.

Bukannya dengan memutuskan hubungan dan kemudian berkahwin dengan perempuan lain. Mengapa mahu berkahwin dengan perempuan lain sedangkan si dia ada dan masih menyimpan cintanya terhadap kamu?

Adakah pada pandangan anda perempuan itu tidak layak diperisterikan kerana sudah ternoda? Ooo, kiranya kamu bersihlah tiada noda? Siapa yang menodainya? Kamu juga. Kononnya nak mencari yang suci bersih walhal diri sendiri terpalit dengan kekotoran. Jenis manusia yang tak sedar diri.

17) Ana dulu pun couple gak. Sejak sekolah sampai dah masuk universiti, dekat nak gred. Tapi apabila ana sedar apa yang ana buat ni salah, ana terus tinggalkan walhal ana siap dah fikir, dialah bakal isteri ana, yang akan jadi ibu kepada anak-anak ana.

Komen saya: Ke’tidak cerdikan’ yang sama berulang. Anda dah punya niat suci untuk memperisterikannya, kemudian memutuskan hubungan itu setelah merasakan hubungan itu salah pada pandangan anda.

Sepatutnya, baikilah apa yang anda rasakan salah itu dan teruskan niat suci anda untuk memperisterikannya. Semudah itu pun masih tak faham? Mengapa masih juga mengambil tindakan yang tak cerdik?

MANHAJ DALAM MEMAHAMI AGAMA

Tidak dinafikan, adakalanya mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang dakwah atau mereka yang baru menemui jalan keinsafan, mereka mempunyai semangat yang meluap-luap berjuang untuk Islam. Tapi masalahanya semangat yang meluap-luap tanpa latar belakang ilmu yang kuat boleh menyebabkan perjuangan yang dibawa itu merosakkan lebih daripada membaiki.
Semua tak boleh, itu zina, ini zina, itu haram, ini haram sehingga menyempitkan ajaran Islam yang luas dan membesar-besarkan perkara lebih daripada skop asalnya.

Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya adalah manhaj berasaskan وسطية /wasatiyyah (pertengahan). Tidak dinafikan, kalau orang itu dilihat mempermudah-mudahkan urusan agama maka kita perlu memberikan peringatan keras kepada mereka. Sebaliknya pula kalau orang itu dilihat terlalu memayah-mayahkan agama maka kita perlu memudahkannya bagi mereka. Namun, semua itu perlu dilakukan atas dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh, apabila wujud sebahagian daripada sahabat Nabi mempermudah-mudahkan urusan berwudhuk sehingga tidak meratakan air ke tempat-tempat yang sepatutnya, maka Nabi memberikan amaran keras kepada mereka berupa seksaan api neraka.

Sebaliknya apabila ada pula sebahagian sahabat yang memayah-mayahkan urusan berwudhuk sehingga membasuh anggota wudhuk secara berlebihan, maka Nabi berkata bahawa basuhan wudhuk itu hanya tiga kali. Andainya masih wujud keraguan dalam hati tidak rata, maka usah dilayan, itu hanya was-was syaitan.

Caranya adalah bersikap keras kepada mereka yang nampak mempermudah-mudahkan agama, dan bermudah-mudah bagi mereka yang nampak memayah-mayahkan agama. Tetapi perlu diletakkan dalam kepala bahawa tujuan akhirnya adalah supaya kedua-dua golongan tersebut kembali kepada kesederhanaan dalam beragama.

Kata Imam Syatibi: Andai kamu melihat kepada keseluruhan syariat maka engkau akan dapati syariat itu cenderung kepada pertengahan. Andai kamu melihat ada kecenderungan kepada sisi terlampau memudahkan atau sisi terlampau menyusahkan maka itu bagi berhadapan dengan lawannya daripada sisi lain.

Sisi memayahkan (kebanyakannya pada menakutkan, menggerunkan, melarang) didatangkan bagi berdepan dengan mereka yang cenderung mempermudahkan agama.

Sisi memudahkan (kebanyakannya pada pengharapan, galakan, dan rukhsah kemudahan) didatangkan bagi mereka yang cenderung memayahkan agama.

Kalau tiada masalah pada kedua-duanya maka aku melihat pertengahan itu lebih utama, dan jalan kesederhanaan itu jelas, dan itulah kaedah asal yang menjadi rujukan dan pusat yang menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar Ibni Affan)

Janganlah terlampau mempermudahkan dan jangan terlampau menyusahkan. Ambil jalan pertengahan. Untuk pesakit darah tinggi, berikan ubat yang menurunkan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan normal. Pesakit darah rendah pula, berikan ubat yang meninggikan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan tahap normal. Apa yang penting adalah memastikan kenormalan tekanan darahnya.

Akhir kata, semoga segala penjelasan itu dapat dicerna dengan baik. Andai timbul sebarang persoalan tak faham lagi berkenaan zina hati, maka bak kata rakan saya: “Sila hantukkan kepala anda ke dinding”…. Hehe sekadar bergurau. Jangan lagi membesarkan isu lebih daripada skop yang sepatutnya.

Sememangnya muhasabah diri sama ada terpalit dengan dosa atau tidak itu memang sesuatu yang bagus. Tapi men'dosa'kan diri dengan perkara yang bukan dosa itu bukan daripada ajaran agama, itu adalah ta’annut dan tasyaddud yang ditegah dalam beragama.

Islam tidak datang untuk menjadi musuh kepada naluri dan perasaan manusia tetapi untuk memberikan pedoman dan tunjuk ajar supaya manusia dapat mengawal naluri dan perasaannya ke arah kebaikan. Dengan itu dapatlah kita menjadi manusia yang baik bukan menjadi malaikat yang baik.

Sekian, wassalam.



Oleh:
Ahmad Fathi Bin Muhammad
Marrakech, Maghribi.
Emel: fathifawwaz@yahoo.com

6 comments:

ilmu yang bermnfaat,..
skang baru faham, syukran ala kullihal :)

October 22, 2011 at 12:10 PM comment-delete

berhati-hati dengan hati..

October 22, 2011 at 7:14 PM comment-delete

Zina hati mmg bahaya.. kadang2 ke xperasaan perkarA nie terjadi.. Tq share.. :)

October 22, 2011 at 7:36 PM comment-delete

syukran atas perkongsiaan ni akhi :)

October 23, 2011 at 12:29 AM comment-delete

siapa yang telah memahami makna zina hati..
perlu menerangkan kepada mereka yang masih tidak paham mengenai zina hati..
tetapi, haruslah menggunakan pendekatan yang berhikmah dan juga perlu bersabar dalam menerangkan istilah zina hati bagi mereka-mereka yang masih tidak mengetahui dengan jelas mengenainya..

ya, situasi di atas jelas menunjukkan masih ada 'perselisihan' mengenai zina hati bagi mereka yang masih gagal memahami mksudnya..
tetapi jika si penjawab kepada soalan2 di atas lebih mengambil pendekatan menerangkan jawapan dengan lebih berhikmah tanpa melihat level pengetahuan mengenai zina hati, makanya entri ini akan lebih bersifat memberi penjelasan daripada bersifat 'penatnya menerangkan'..

p/s:komen ini hanya pandangan selepas membaca entri ini..jika agak kasar penyampaian komen ini, harap di maafkan..salam

October 26, 2011 at 7:06 AM comment-delete

This comment has been removed by the author.

December 1, 2011 at 8:31 AM comment-delete

Post a Comment